*Please click on the title to view the photos.

Wedding Halim & Salasiah di Bintulu, Sarawak

Salam semua,

Sudah agak lama juga rasanya saya tidak mengemaskini blog ini :D Untuk album kali ini, saiz 10 x 12 menjadi pilihan dengan 12 mukasurat kesemuanya. Rekaan bermula dari album kali ini akan lebih artistik, seperti yang anda boleh lihat di bawah ini berbanding album sebelum ini. Ini adalah untuk membezakan kaedah penyampaian saya dengan photographer yang lain. Ruang di dalam album akan digunakan sepenuhnya, tetapi tidak terlalu ‘crowded’ disamping sedap mata memandang, sedap juga bahu yang memikul kamera yang berat, hehe..

Entry kali ini adalah Majlis Perkahwinan abang saya sendiri iaitu, Halim bin Sanai dengan tunangnya Salasiah binti Dol di kampung Baru, Bintulu, Sarawak pada 18-19 April 2009 yang lepas.



Saya telah selamat tiba di Bintulu bersama dengan kakak saya pada petang 17 April 2009, seperti yang telah saya ceritakan pada entry yang lepas. Segala persiapan untuk majlis perkahwinan telah bermula sejak petang 17 April 2009. Pada malam nya pula, bakal pengantin lelaki berinai, yang dilakukan sendiri oleh kakak sulung saya selaku Mak Andam, hehehe.. Kami sekeluarga memberikan sokongan sepenuhnya dan membantu apa yang terdaya untuk menjayakan majlis perkahwinan ini. Saya ditugaskan selaku jurugambar pada kali ini :D Serba sedikit persiapan pada malam berinai di rumah pengantin lelaki sempat saya rakam dan juga persiapan di sebelah pagi 18 April 2009.



Majlis pernikahan dijadualkan pada petang 18 April 2009 di rumah pengantin perempuan sendiri. Pada lebih kurang pukul 13.00pm, majlis zikir marhaban diadakan di rumah pengantin lelaki. Pada masa yang sama juga, pengantin lelaki telah bersiap-siap untuk ke majlis akad nikah yang dijadualkan agak terlewat juga iaitu lebih kurang 14.30pm. Selepas tamatnya majlis zikir marhaban, kami dimaklumkan bahawa jurunikah  telah berada di rumah pengantin perempuan. Dengan penuh debaran, pengantin lelaki diajak untuk berselawat sebelum melangkah kaki ke rumah pengantin perempuan. Tanpa arahan, pakcik saya telah bersedia di dalam kereta untuk membawa pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan yang berada lebih kurang 100 meter sahaja. Tetapi memandangkan hari panas terik, kereta diperlukan untuk mengelakkan pengantin lelaki bermandi peluh untuk sampai ke rumah pengantin perempuan. Begitulah suasana majlis yang diadakan di kampung, gotong royong sentiasa menjadi amalan untuk  menjayakan sesuatu majlis.



Sebaik tiba dirumah pengantin perempuan, pengantin lelaki dijemput untuk duduk berhadapan dengan jurunikah yang telahpun bersedia. Majlis akad nikah berjalan dengan lancar, sekali lafaz sahaja mereka telahpun bergelar suami isteri yang sah.



Selepas majlis akad nikah, pengantin lelaki dan perempuan duduk bersanding di atas pelamin. Upacara ‘tepung tawar’ diadakan dengan penuh sederhana untuk meraikan pengantin baru dan raja sehari.



Selepas bersanding, saya mengambil kesempatan untuk merakam beberapa aksi sambil pengantin melakukan beberapa ‘posing’. Sebaik majlis bersanding tamat, pengantin lelaki diiringi untuk pulang ke rumah berehat untuk majlis keesokan harinya pula.



Di malam hari, berlangsung pula majlis pertunangan di rumah pengantin lelaki. Akan saya ceritakan tentang majlis pertunangan tersebut pada ‘entry’ yang akan datang. Acara karaoke berlangsung sebaik majlis pertunangan tamat, sehingga ke dinihari kira-kira pukul 02.00am. Majlis perkahwinan seolah-olah tidak meriah sekiranya tiada acara karaoke dirumah pengantin. Sudah menjadi satu budaya pula apabila acara karaoke menjadi satu kemestian didalam majlis perkahwinan, masing-masing ingin mencuba bakat yang terpendam, hehe..

Pagi 19 April 2009 (Ahad), persiapan telah bermula seawal pukul 7.00m. Tetamu mula mengunjungi rumah pengantin seawal pukul 8.00am. Pengantin lelaki mula bersiap-siap dengan dibantu oleh adik beradik yang lain. Tetamu yang datang dijamu dengan juadah yang telah sedia terhidang. Tetamu mula menjamah jamuan sebaik bacaan doa telahpun tamat. Paluan kompang bergema sebelum pengantin lelaki berangkat ke rumah pengantin perempuan untuk menjemput ke acara bertandang di rumah pengantin lelaki.



Pengantin lekaki dengan segak berjalan diiringi ke rumah pengantin perempuan dengan paluan kompang. Sebaik tiba di tangga rumah pengantin perempuan, pengantin lelaki ditabur dengan bunga-bungaan sebagai mengalu-alukan kedatangan pengantin lelaki ke rumah. Pengantin lelaki diiringi terus ke pelamin dimana sang ratu sehari telahpun sedia menanti. Bersanding sebentar di atas pelamin dengan paluan kompang berterusan selama beberapa minit.



Sebelum pengantin lelaki membawa pengantin perempuan beredar ke rumah pengantin lelaki, saya sempat merakam beberapa aksi terlebih dahulu. Adat menuruni anak tangga sebanyak 3-7 kali (adat tradisional) di panas terik matahari menyebabkan kedua mempelai bermandi peluh.



Tiba di rumah pengantin lelaki, kedua mempelai bersanding di atas pelamin. Acara tepung tawar dimulai oleh ayah dan ibu pengantin lelaki. Ibu pengantin lelaki menyarungkan cincin sebagai tanda penghargaan kepada pengantin perempuan kerana sudi menjadi menantu. Tetamu yang hadir bergilir-gilir untuk menepung tawar raja dan ratu sehari.



Sebaik tamat acara tepung tawar, pengantin lelaki dan perempuan bertukar pakaian untuk acara seterusnya iaitu memotong kek. Dengan segak pengantin lelaki bersut dan pengantin perempuan mengenakan baju gaun, acara memotong kek pun dimulai kemudian kedua-duanya diminta untuk menyuapkan secebis kek diantara satu sama lain. Kejutan dibuat kepada ayahanda pengantin lelaki bila dijemput untuk memotong kek harijadinya sendiri. Ayahanda dan bonda pengantin lelaki juga diminta untuk menyuapkan pasangan masing-masing. Haha, tak pernah dibuat dek orang lain :D



Majlis tamat lebih kurang pukul 13.00pm. Kesemua tetamu sudahpun beransur pulang ke rumah masing-masing. Tetapi semangat untuk merakam gamabr masih belum padam. Kami merancang untuk melakukan sedikit shooting outdoor yang bertempat di Waterfront dan Tanjung Batu, Bintulu. Waktu 16.00pm dipilih kerana cuaca pada waktu tersebut tidak begitu panas dan suasana menghampirir senja akan memberikan kelainan warna pada gambar.

Selang waktu sebelum pukul 16.00pm saya isi dengan merehatkan diri sambil merebahkan diri di ruang tamu di hadapan pelamin rumah pengantin lelaki. Kanak-kanak masih belum jemu bermain sesama mereka, tetapi saya cuma memekakkan telinga kerana itulah tabiat kanak-kanak, jika dilarang sekalipun mereka tetap akan bermain dan terus bermain. Saya terlelap sebentar tapi tidur-tidur ayam jer, terjaga lebih kurang pukul 15.00pm dan menunaikan solat zohor terlebih dahulu. Pukul 16.30pm barulah kami bertolak ke Waterfront, Bintulu terlebih dahulu dengan dua kereta.



Selepas merakam beberapa gambar di Waterfront, kami seterusnya bertolak ke Tanjung Batu yang berada hanya di dalam lingkungan 1-2 kilometer. Kami menghabiskan masa sehingga maghrib untuk mendapatkan suasana senja yang cantik. Gambar yang cantik akan menjadi kenangan kepada kedua mempelai jika mereka mengingati kembali detik-detik yang membahagiakan itu.



Sebaik matahari terbenam, kami pun berangkat pulang ke rumah. Saudara mara yang jauh meneruskan perjalan ke kediaman masing-masing pada keesokan harinya. Begitu juga saya dengan kakak saya balik semula ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya dengan AirAsia. Pengalaman yang sungguh menyeronokkan apabila kita dapat merakam gambar yang kita kehendaki. Saya menjangka bahawa abang sayalah orang pertama yang akan mempunyai Story Book Album di Bintulu nanti. Ini akan menjadi salah satu ‘marketing strategy’ untuk meneroka pasaran di Bintulu dan Sarawak, hehe..

0 comments:

Post a Comment